Main Mobile Legend pun kena parang

POLIS memburu lelaki berusia 30 tahun yang menetak remaja lelaki kerana bermain Mobile Legend bersama sepupu perempuan suspek di Kampung Tinusa Dua, Sandakan, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, suspek dikatakan berang dengan remaja berusia 18 tahun itu kerana dipercayai tidak puas hati dengan tindakan mangsa datang ke rumahnya.

Suspek kemudian menyerang mangsa dengan parang sehingga menyebabkan kecederaan putus urat di jari manis dan tengah di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian dilaporkan berlaku Rabu lalu, namun mangsa hanya membuat laporan polis semalam.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mengaku pergi ke rumah rakan perempuannya untuk bermain aplikasi permainan telefon pintar.

“Rakan perempuan mangsa dilaporkan tinggal bersama datuk dan sepupu lelaki iaitu suspek di rumah terbabit.

“Ketika hendak pulang, mangsa dikatakan disergah suspek yang bertanya apa yang dilakukan mereka di rumah berkenaan.

“Suspek terus menghayunkan parang ke arah mangsa dan terkena pada dua jari tangan kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, remaja itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan terus mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan.

“Mangsa dilaporkan sudah menjalani rawatan menyambung semula urat jari yang terputus dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Azhar berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan manakala siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *