Lahad Datu Perlu Lapangan Terbang Baharu – Mohamadin

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

KOTA KINABALU, 13 Apri – Lahad Datu, terletak kira-kira 403 kilometer di Pantai Timur Sabah, memerlukan sebuah lapangan terbang baharu yang lebih besar bagi melonjakkan lagi potensi pelancongan di daerah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam berkata lapangan terbang baharu yang lebih besar itu perlu memandangkan lapangan terbang sedia ada beroperasi ketika ini hanya mampu menampung operasi pesawat berkapasiti kecil seperti ATR dan Fokker.

“Masih banyak perlu dilakukan (bagi melonjakkan lagi potensi pelancongan) di Lahad Datu. Sebagai contoh lapangan terbangnya. Ini kerana, pada masa sekarang hanya (pesawat kecil seperti) ATR dan Fokker sahaja yang boleh mendarat di sana dan pesawat berkapasiti besar tidak boleh.

“Justeru, saya mempunyai perancangan untuk membina lapangan terbang baharu supaya pesawat besar boleh mendarat sekali gus membawa lebih ramai pelancong ke Lahad Datu,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual secara langsung menerusi radio SabahFM di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata Lahad Datu mempunyai banyak lokasi menarik dan berpotensi sebagai produk pelancongan di Sabah termasuk Lembah Danum, Rizab Hidupan Liar Tabin dan terbaharu ialah penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ atau ‘Blue Ring Reef’ di perairan Teluk Darvel.

“Kami akan mempromosikan Lahad Datu serta lokasi menarik untuk dikunjungi di sana,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *