Misteri Bau Busuk, Mayat Warga Emas Hampir Reput Ditemui Di Ranau

GAMBAR mangsa dan pondok lokasi mayatnya ditemui. FOTO Recqueal Raimi

Warga emas kaku dalam pondok

MISTERI bau busuk dihidu orang awam berhampiran sungai di Kampung Takurik, Ranau, terjawab apabila mayat lelaki warga emas ditemui hampir reput dalam sebuah pondok, menjadi tempatnya berteduh kelmarin.

Mayat lelaki berusia 65 tahun ditemui oleh orang awam dalam keadaan terlentang 12.30 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, sebaik menerima aduan daripada orang awam, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati orang awam curiga dengan bau busuk itu cuba mengesan puncanya, namun mereka menemui mayat mangsa.

“Hasil pemeriksaan dijalankan kami menemui gambar mangsa pada kad identiti ahli Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) bernama Latik Munsari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, menurut orang awam mangsa terbabit dikatakan kerap dilihat merayau sekitar pekan Ranau untuk mencari tin aluminium.

“Setakat ini, pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan di lokasi dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Ranau untuk bedah siasat.

“Usaha mengesan ahli keluarga mangsa juga masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *