Warga Asing Ditangkap, Miliki 153 Gram Syabu

Dadah dipercayai syabu yang ditemui pada suspek semasa tangkapan. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing berjaya diberkas oleh sepasukan polis kerana memiliki bahan terlarang dipercayai dadah jenis methamphetamin atau Syabu di sini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata suspek berumur 35 tahun berkenaan ditangkap di tepi jalan, Lorong Bandar Putera Manggatal.

Ketika tangkapan dibuat, polis menemui tiga bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dari suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu.

Semasa tangkapan dibuat, suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya ditumpaskan oleh pasukan polis bertugas.

Dalam satu kenyataan hari ini, George berkata jumlah rampasan barang kes hasil daripada tangkapan berkenaan adalah seberat 153 gram yang bernilai RM22,950.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan maklumat awam ke atas sarang-sarang penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pegedaran dadah.

Selain itu, tangkapan berkenaan dijalankan bagi mengenalpasti dan mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

Orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak polis untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik agar ia dapat dibanteras dengan berkesan. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *