Polis tahan enam wanita Vietnam tawar khidmat pelacuran

ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan semasa serbuan Ops Noda di hotel terbabit.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan enam wanita warga Vietnam selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran di sebuah hotel sekitar pusat bandaraya malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua individu ditahan dalam satu serbuan Ops Noda yang diketuai Ketua Jabatan siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, bermula jam 11.40 hingga 12.40 tengah malam.

“Semasa serbuan bermula jam 11.40 hingga 12.40 tengah malam itu polis berjaya mengesan seorang wanita berumur 29 tahun yang dipercayai penjaga kepada wanita warga Vietnam yang dijadikan pelacur.

“Lima lagi berumur 19 hingga 29 tahun turut ditahan di beberapa bilik berasingan yang terletak di tingkat lima dan enam hotel terbabit yang mana salah seorang daripada mereka bertindak agresif semasa diserbu bagi mengelakkan ditahan pasukan serbuan,” katanya.

Tambahnya polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai melanggan salah seorang wanita warga Vietnam itu di sebuah bilik hotel.

“Beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan pelacuran termasuk 32 keping kondom, enam tiub minyak pelincir, 10 telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM3,410,” katanya.

Habibi berkata hasil siasatan selanjutnya mendapati wanita Vietnam yang ditahan mengenakan bayaran sebanyak RM268 bagi setiap langganan perkhidmatan seks.

“Suspek turut menggunakan media sosial termasuk aplikasi Wechat dan Whatsapp sebagai medium untuk menawarkan seks,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *