Ketua Kampung Terlibat Penjualan Lot Tanah Akan Ditamatkan Perkhidmatan Serta Merta

Azhar (dua kiri) bersama penerima-penerima watikah WKAN. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ketua Kampung yang menjual tanah lot di kawasannya akan dilaporkan kepada pihak berwajib.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian merangkap Ahli Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Azhar Matussin berkata beliau juga tidak akan teragak-agak akan menamatkan perkhidmatan Ketua Kampung yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

“Penjualan tanah lot oleh Ketua Kampung seperti menjadi kebiasaan atau budaya pada masa dahulu di kawasan mereka.

“Namun, saya tidak mahu perkara ini berulang dalam pimpinan baharu ini. Memang ada saya dengar aduan dan ura-ura yang mengatakan ada yang baru dilantik dan belum menerima watikah pelantikan tapi sudah mula bergiat dengan kerja-kerja seperti ini.

“Jadi saya betul-betul kali ini tidak teragak-agak, jika berlaku perkara sebegini saya akan melaporkan kepada pihak yang berwajib dan akan menamatkan perkhidmatan mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Adat dan Pengerusi-pengerusi Penyelaras Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kawasan Karambunai di Grand Borneo Hotel hari ini.

Azhar (tiga kiri) menyampaikan watikah pelantikan Ketua Daerah Karambunai. Gambar SNT/Alfred Petrus

Namun, jelasnya tindakan yang diambil oleh pihaknya juga akan berlandaskan kepada undang-undang sedia ada.

Beliau mahu semua Ketua Kampung yang dilantik menjalankan tugas mereka iaitu berkaitan dengan adat istiadat di kampung mereka dan bukannya mejual tanah lot.

“Lot ini tidak boleh dijual tetapi boleh diwariskan dan Ketua Kampung ini adalah sebagai pemegang amanah kepada lot-lot di kawasannya.

“Sepatutnya lot berkenaan diberikan secara percuma kepada penduduk asal kawasan tersebut.

“Orang luar yang datang dan yang tinggal di kampung tersebut juga tidak boleh diberikan lot berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seramai 47 penerima watikah pelantikan Ketua Daerah Karambunai, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung dan MPKK pada majlis tersebut. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *