Polis tahan 13 ahli kumpulan pengganas, pelindung

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah mengucapkan tahniah kepada beberapa pasukan polis dari cawangan elit selepas berjaya menahan 13 individu dalam satu operasi bersepadu dalam usaha menangani ancaman militan di negeri ini bulan lalu.

Beliau berkata operasi antara 11 dan 12 Mac itu dilaksanakan pasukan Cawangan Khas dan Unit Komando 69 di sekitar Semporna dan Tambunan.

“13 suspek iaitu 12 warga Filipina dan seorang warga tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam menganggotai beberapa kumpulan pengganas iaitu Abu Sayyaf (ASG), Pengganas Maute atau Kumpulan Royal Sulu Force (RSF).

“Ada dalam kalangan suspek ditahan selepas dipercayai memberi perlindungan kepada elemen pengganas asing yang menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian,” katanya.

Menurutnya kesemua tahanan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan (April) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Rabu.

Sementara itu, katanya, prestasi terbaik Kontinjen Sabah turut terbukti apabila berjaya menduduki tangga kedua untuk perbandingan indeks jenayah bagi tempoh tiga bulan pertama.

Tambahnya Sabah turut meraih tangga ke 10 daripada 14 kontinjen di negara ini dengan berjaya menyelesaikan kes sebanyak 48.94 peratus.

“Kejayaan melalui kes narkotik turut memberangsangkan apabila Kontinjen Sabah berjaya menahan sejumlah 304 individu termasuk pengedar dan pengedar kecil-kecilan dalam 232 kes sepanjang 1 Januari sehingga 31 Mac tahun ini berbanding hanya 222 individu tahun lalu.

“803 individu turut ditahan selepas didapati memiliki dadah dan 3013 suspek ditahan bagi kes positif saringan urin tahun ini manakala tangkapan di bawah Akta Dadah

Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 meningkat kepada 12 orang berbanding hanya tujuh tangkapan tahun lalu,” katanya.

Menurutnya sepanjang tiga bulan pertama, Kontinjen Sabah berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 9,000.52 gram diikuti daun ketum seberat 6.168.69 gram, ganja seberat 1,634.23 gram, ketamin 77.89 gram serta ecstasy dan erimin 5 masing-masing 32 dan 0.65 biji.

“Dalam tempoh ini juga, Kontinjen Sabah berjaya menahan lima pelajar termasuk tiga pelajar sekolah menengah dan merampas 4,202 gram syabu serta 271 gram ganja di Sandakan, Lahad Datu dan ibu negeri,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *