Pencuri pengsan penat larikan diri

Motosikal yang dicuri suspek.

JAKARTA: Seorang lelaki pengsan akibat kepenatan dalam usahanya melarikan diri, termasuk berenang menyeberang sungai selepas dikejar pemilik motosikal dicurinya di Tanah Abang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pagi kelmarin, suspek mencuri sebuah motosikal yang diletak di hadapan sebuah rumah di Kreo, Larangan, Tangerang.

Kompas melaporkan, Ketua Polis Tanah Abang, Lukman Cahyono berkata, tindakan lelaki itu bagaimanapun disedari pemiliknya yang nekad mengejarnya.

“Motosikal berkenaan dalam keadaan enjin dihidupkan kerana pemiliknya mahu memanaskan enjin apabila dicuri suspek,” katanya.

Menurutnya, pemilik motosikal itu mengejar suspek menggunakan motosikal lain hingga ke Tanah Abang di tengah Jakarta sebelum motosikal itu mengalami masalah enjin menyebabkan ia terhenti.

Suspek berusaha melarikan diri sebelum terjun ke dalam terusan dan berenang menyeberanginya namun pengsan dipercayai akibat kepenatan selepas naik ke tebing sebelum ditahan polis. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *