Peminat samakan rap Zizi Kirana dengan Lisa BLACKPINK

RAMAI peminat mengatakan nyanyian rap Zizi Kirana (kiri) kedengaran sama dengan Lisa BLACKPINK (kanan) dalam lagu Kill This Love. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Lisa BLACKPINK

“SIAPALAH saya untuk disamakan dengan Lisa BLACKPINK,” kata penyanyi Zizi Kirana apabila tiba-tiba ramai peminat mengatakan nyanyian rap mereka kedengaran sama dalam lagu Kill This Love.

Zizi, 34, mengakui terharu dan terkejut dengan reaksi luar biasa itu memandangkan dia sendiri memang mengagumi nyanyian rap penyanyi Korea Selatan itu selama ini.

“Macam tak percaya pula apabila disamakan dengan Lisa. Bahkan, ada juga mengatakan Lisa pula yang meniru cara nyanyian saya.

“Risau juga, sebab peminat BLACKPINK sangat berkuasa di seluruh dunia. Terus rasa macam tak layak pula disamakan begitu.

“Saya pun memang ‘follow’ Lisa di Instagram disebabkan sangat sukakan gaya serta kemampuan rapnya. Seperti kebetulan pula bila peminat menyamakan kami berdua,” katanya.

Menurut Zizi, dia tidak menolak jika suatu hari nanti ditakdirkan dapat bekerjasama dengan Lisa.

“Kalau betullah dapat bergandingan dengannya, memang ibarat mimpi jadi kenyataan. Terus-terang, saya memang sentiasa menantikan peluang itu.

“Dapat bekerjasama untuk satu saja lagu pun sudah memadai. Lagipun, dia sendiri berasal dari negara jiran iaitu Thailand, jadi kenapa tidak saya memasang angan-angan itu?,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Siapa Yang Bap Bap itu berkongsi beberapa tangkapan skrin peminat yang mendakwa cara rap mereka seakan mirip. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *