UMNO Sabah yakin lebih 500 ribu ahlinya tetap setia, kata Bung Moktar

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin berkata, parti yang lebih tergugat dengan kemasukan PPBM di negeri itu ialah Warisan, bukan Umno.

UMNO Sabah yakin walaupun PPBM sudah melebarkan sayap ke negeri itu, tetapi lebih 500,000 ahlinya tetap akan kekal bersama parti Melayu itu.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin berkata, ahli Umno di negeri itu tetap bertambah walaupun 8 bekas pemimpinnya keluar parti dan menyertai PPBM pada 15 Mac lalu.

“Untuk makluman, selepas pembersihan peringkat pertama yang dijalankan, ahli kita (Umno Sabah) adalah seramai 556,616 orang.

“Jumlah itu bukan sahaja kekal, malah bertambah sedikit daripada sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada FMT hari ini.

Umno Sabah dilaporkan mempunyai lebih 500,000 ahli di kesemua 26 kawasan Parlimen di negeri itu, termasuk Labuan.

Semalam, seramai 30,000 orang atau 40,000 mengikut sesetengah anggaran, menghadiri pelancaran parti PPBM Sabah di International Technology and Commercial Centre (ITCC) di Penampang oleh perdana menteri dan pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad.

Mereka dilaporkan datang daripada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dari seluruh Sabah, termasuk Tawau dan Semporna di pantai timur dan Sipitang di bahagian selatan Sabah.

Kebanyakan mereka dikatakan bekas ahli Umno Sabah, walaupun terdapat beberapa orang yang mendakwa tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti dan PPBM merupakan parti politik pertama mereka.

Bung berkata, Umno Sabah tetap berpendirian bahawa kehadiran PPBM ke negeri itu tidak akan menggugat parti itu.

Beliau berkata, parti yang lebih tergugat ialah Warisan kerana ramai ahlinya turut menyertai PPBM.

“Lebih penting ialah Umno Sabah akan turun ke bawah bagi mendekati rakyat. Kita sedia berhadapan mana-mana parti yang ada di sini,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *