Terlebih ‘bijak’

Penipuan yang dilakukan kedua-dua pelajar itu membabitkan kerugian berjumlah AS$895,800 (RM3.6 juta).Agensi

SALEM, AMERIKA SYARIKAT: Dua pelajar kejuruteraan di sebuah universiti di Oregon berdepan hukuman penjara selepas menghantar sejumlah telefon iPhone palsu yang didakwa rosak kepada pengeluar bagi mendapatkan telefon baru sebelum ia dijual semula.

Daily Mail melaporkan, Yangyang Zhou dan Quon Jiang menghantar 1,500 iPhone palsu bagi menuntut waranti daripada Apple dengan mendakwa telefon yang diimport dari Hong Kong itu rosak.

Penipuan yang dilakukan kedua-dua pelajar itu membabitkan kerugian berjumlah AS$895,800 (RM3.6 juta).

Kegiatan mereka terbongkar selepas Kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (AS) mendapat maklumat mengenai kegiatan pelajar China yang mempunyai visa pelajar dan menemui sekurang-kurangnya lima iPhone palsu.

Zhou didakwa menghantar 216 tuntutan waranti berbeza, tetapi penipuan yang dibuat Jiang jauh lebih banyak iaitu 3,069. Namun, Apple menolak 1,600 tuntutan berkenaan.

Mereka mendakwa membayar rakan untuk menghantar iPhone yang diganti oleh Apple dan telefon palsu ke rumah mereka. Produk asli pula dijual sehingga ratusan dolar di luar negara.

Jika didapati bersalah, Zhou yang menuntut di kolej Corvallis Oregon State akan dipenjara selama lima tahun dan denda AS$10,000 (RM41,000).

Jiang dari Kolej Komuniti Linn Benton di Albany pula, menghadapi 30 tahun penjara dan denda AS$2 juta (RM8.1 juta) kerana dituduh melakukan pemerdagangan barang palsu dan penipuan teknologi maklumat. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *