Rundingan MA63 tak terjejas – PM

TUN Dr Mahathir Mohamad membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Artikal 1(2) pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tidak akan sama sekali mengubah usaha rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri berkata, rundingan berkenaan giat diadakan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, usaha rundingan itu diteruskan sehingga persepakatan yang memuaskan hati semua pihak dapat dicapai.

“Sehubungan itu, saya ingin tegaskan Malaysia perlu dilihat sebagai satu entiti tanpa memisahkannya kepada Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

“Kekayaan dan keuntungan yang diperoleh oleh Malaysia perlu diagih kepada semua negeri di Malaysia secara adil dan saksama mengikut keperluan,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, perpaduan negara perlu menjadi agenda utama semua pihak yang membentuk Malaysia bagi memastikan negara terus maju dan teguh sebaris dengan kuasa besar dunia.

“Pindaan yang dicadangkan ini adalah langkah dan usaha murni kerajaan sebagai pembuka jalan kepada reformasi undang-undang demi mencapai hasrat rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan, apa-apa tindakan yang dilaksanakan kerajaan hanya dibuat selepas mempertimbangkan implikasi dan kesannya terhadap Malaysia secara keseluruhan.

Katanya, pindaan itu bukan tindakan yang dibuat secara terburu-buru untuk memenuhi kehendak mana-mana pihak.

Mengenai cadangan Sabah dan Sarawak supaya dibuat tafsiran Persekutuan atau ‘The Federation’ dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak bercadang meminda perkara itu.

Dalam konteks umum, katanya, Persekutuan bermaksud Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran mengikut Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan ini tidak menjejaskan kedudukan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai komponen dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *