TAWAU: Tujuh rumah terjejas termasuk empat hangus sama sekali dalam kebakaran di Tawau Lama, Jalan Pantai di sini kira-kira jam 9.30 pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Sharudy Delamin berkata bomba menerima panggilan jam 9.33 pagi dan tiba di lokasi selang tujuh minit kemudian.
“Kita memulakan operasi memadam api jam 9.41 pagi dan operasi berjaya dikawal jam 10.20 pagi sebelum ditamatkan jam 12.09 tengahari,” katanya.
Sharudy berkata dalam kebakaran itu, sebuah rumah turut terjejas teruk apabila hampir 90 peratus struktur asalnya musnah terbakar, manakala sebuah lagi 70 peratus terbakar.
Tiada kecederaan dilaporkan. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – Utusan Borneo