PPBM Sabah sedia beri ruang generasi muda ceburi politik

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah bersedia memberi ruang dan platform baharu kepada golongan muda untuk turut menceburi politik melalui parti berkenaan.

Penyelaras PPBM Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, kehendak golongan muda tidak boleh diketepikan kerana peranan mereka adalah mencorakkan masa depan negara.

“Kita telah melihat bagaimana mereka bersuara, dan suara mereka telah turut merubah landskap politik negara di dalam pilihanraya umum ke-14 yang lalu.

“Oleh itu, Bersatu Sabah bersedia memberi ruang kepada mereka,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran PPBM Sabah, di sini pada Sabtu.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman itu, penubuhan PPBM di negeri ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya bumiputera atau pribumi Sabah.

Beliau yakin bahawa kewujudan parti nasional itu di Sabah akan menjadi alternatif kepada rakyat bumiputera sebagai satu parti pilihan yang memperjuangkan serta melindungi kepentingan bumiputera, ekoran lanskap politik negara yang sudah berubah.

Sehubungan itu, Hajiji tidak bersetuju sama sekali dengan tanggapan segelintir pihak yang menyatakan bahawa PPBM datang ke Sabah untuk menjajah dan perlu dikikis.

“Cuba kita melihat kepada senario politik di Sabah, sebelum ini jelas membuktikan bahawa parti nasional diterima, disokong dan diberi mandat oleh rakyat sehingga boleh memerintah negeri ini selama hampir 25 tahun.

“Jika dibuat perbandingan dengan parti-parti tempatan yang telah diberi peluang memerintah, hanya dalam jangka masa yang singkat, yang tidak pun melebihi 10 tahun,” katanya.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menjelaskan sebab memilih sertai PPBM kerana berkeyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang memiliki rekod cemerlang sebagai pemimpin yang bertaraf dunia.

Katanya, pemimpin nombor satu negara itu akan mampu membawa negara ini berjaya dalam pelbagai bidang sehingga menjadi terkenal di seluruh dunia.

Selain itu, beliau percaya perjuangan yang dibawa oleh PPBM cukup jelas iaitu memainkan peranan lebih efektif dalam membantu Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan, kestabilan, dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

“Pertimbangan lain kenapa kami menyertai Bersatu ialah kerana kedudukan negeri Sabah dan geo-politiknya yang amat sensitif, terutama sekali dalam aspek-aspek keselamatan.

“Sebagai negeri di dalam Persekutuan Malaysia, kami berharap sangat agar Kerajaan Persekutuan lebih menitik beratkan soal-soal keselamatan, selain membawa lebih banyak lagi kemudahan dan pembangunan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, dengan adanya PPBM di Sabah juga, parti itu diharap memain peranan supaya hubungan sedia terjalin di antara negeri Sabah dengan Putrajaya dapat dirapatkan, selain menjayakan dasar Integrasi Nasional, iaitu untuk merapatkan perhubungan rakyat Sabah dengan rakyat di Semenanjung termasuk negeri Sarawak. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *