PBS mungkin letak calon – Maximus

PRESIDEN Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. – NSTP/Edmund Samunting

SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan membuat keputusan mengenai kemungkinan untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan selepas berbincang dengan rakan parti dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan rasmi akan dibuat selepas mengambil kira semua aspek menerusi perbincangan dalam GBS dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini belum ada keputusan. Kepemimpinan parti akan membuat keputusan selepas berbincang dengan rakan dalam GBS.

“Kita juga turun padang di sini untuk membuat analisis mengenai maklum balas pemimpin parti, penyokong dan ahli PBS di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maximus berkata, ahli PBS Sandakan masih berdiri teguh bersama parti itu walaupun ditawarkan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya.

Katanya, berdasarkan maklum balas akar umbi, ramai yang mengundi parti gabungan Pakatan Harapan (PH)-WARISAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekarang menyesal.

“Mereka rasa tertipu kerana janji pilihan raya tidak ditepati dan tiada penambahbaikan dalam pentadbiran serta pembangunan selepas hampir setahun menjadi kerajaan.

“Keadaan perniagaan di Sandakan juga semakin teruk berikutan kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi serta lebih teruk lagi dengan kejatuhan harga sawit dan getah, manakala pendatang asing tanpa izin semakin ramai berkeliaran,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *