Istilah ‘Borneo’ mungkin ditambah dalam pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk memasukkan istilah ‘Borneo’ di dalam usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan dibahas dan diputuskan di Dewan Rakyat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata pindaan saat akhir dalam usul bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung itu, antara yang diminta beberapa pihak, termasuk pembangkang.

Katanya, tuntutan bagi menambah perkataan Borneo itu adalah bagi memastikan pindaan berkenaan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Penambahan istilah itu, katanya, berkemungkinan menjadi penentu sama ada Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyokong pindaan itu.

“Kerajaan sedang mempertimbangkan (untuk tambah istilah Borneo). Kami sedang meneliti perkara itu, namun ia bukan isu besar.

“Saya rasa, jika kami laksanakan apa yang mereka mahu, iaitu menambah beberapa istilah, mereka akan sokong pindaan ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang, khususnya dari Sabah dan Sarawak menggesa ia ditangguhkan kerana pindaan itu disifatkan tergesa-gesa dan tidak menyeluruh.

Mengulas maklum balas mengenai pindaan itu, Vui Keong berkata tiada bantahan diterima kerajaan daripada peringkat akar umbi, sebaliknya beberapa pihak hanya mahu beberapa perkara lain ditambah.

“Mereka cuma nak istilah tertentu digunakan dan mahu beberapa perkara ditambah. Kerajaan masih mempertimbangkan,” katanya.

Mengulas perbahasan usul pindaan itu esok, Vui Keong berkata ramai Ahli Parlimen dijangka diberi peluang untuk berbahas esok dan ia dijangka berakhir pada sebelah malam.

“Perbahasan dijangka berterusan sehingga malam. Ramai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahu berbahas kerana ia membabitkan kepentingan negara.

“Ia sesuatu yang bagus. Saya harap orang ramai sampaikan pandangan kepada Ahli Parlimen masing-masing, yang akan bawa suara mereka dalam perbahasan esok,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *