Semoga Jari cepat sembuh…

JARI yang diculik ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, 6 Disember lalu, kini dirawat di Mindanao. FOTO Poliana Ronie Sidom

WISMA Putra mengesahkan nelayan tempatan, Jari Abdullah yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada 6 Disember tahun lalu ditemui oleh Angkatan Tentera Republik Filipina (AFP), semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan mangsa kini sedang dirawat di fasiliti perubatan di Mindanao kerana kecederaannya.

“Jari ditemui ketika pertempuran antara AFP dan kumpulan Abu Sayyaf di Bandar Banguigui, Pulau Simisa, Sulu, Filipina.

“Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao dan Kedutaan Malaysia di Manila berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini dan sedang memantau keadaannya.

“Menteri Luar Negeri sudah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) untuk bertemu dengan pemimpin Sabah untuk mendapatkan perkembangan terbaharu daripada Kerajaan Negeri Sabah mengenai mangsa penculikan,” katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Jari bersama dua lagi nelayan warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang dari bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Dalam kejadian itu, tiga nelayan terbabit dilaporkan hilang selepas sebuah bot nelayan ditemui tanpa kelibat mereka dan disahkan diculik selepas seorang isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke sebuah tempat tidak diketahui di Filipina. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *