Polis tahan enam individu dipercayai menagih, miliki dadah

SUSPEK berumur 22 tahun yang ditahan sepasukan URB di Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu.

PAPAR: Polis menahan enam individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penagihan serta memiliki dadah dalam beberapa siri serbuan di sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata lima suspek ditahan dalam satu Ops Sarang yang dijalankan bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Pemeriksaan awal mendapati tiga daripada suspek yang ditahan terbabit aktiviti penagihan dadah selepas ujian air kencing positif syabu.

“Dua yang lain pula ditahan selepas menyimpan dadah jenis syabu seberat 13.52 gram,” katanya.

Menurutnya seorang lagi suspek berjaya ditahan di Kilometer 3 Jalan Baru Papar-Kota Kinabalu oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Suspek berumur 22 tahun ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan semasa sedang menaiki sebuah lori.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek mendapati terdapat satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.

Batholomew berkata suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya kesemua suspek berumur 22 hingga 44 tahun disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Utusan Borneo

Gambar Polis Papar
Gambar Polis Papar
Gambar Polis Papar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *