PM dari Sabah dan Sarawak satu hari nanti – Tun M

Tun Dr Mahathir (tengah) bersama Ahli Majlis Tertinggi BERSATU selepas melancarkan BERSATU Sabah. FOTO Khairull Azry Bidin

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin satu hari nanti Perdana Menteri Malaysia datang dari Sabah atau Sarawak.

Perdana Menteri berkata, semua rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak berpeluang menjawat jawatan itu jika memiliki kebolehan.

“Saya yakin satu hari nanti Perdana Menteri Malaysia datang dari Sabah atau Sarawak kerana kita semua rakyat Malaysia.

“Siapa saja boleh muncul sebagai pemimpin asalkan mereka ada kebolehan,” katanya pada pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dihadiri kira-kira 30,000 penyokong di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut mengumumkan Hajiji sebagai penyelaras BERSATU Sabah yang kini dianggarkan sudah memiliki kira-kira 130,000 ahli.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berkata, hanya pemimpin bersih, tidak menyalahguna kuasa dan tidak rasuah boleh diberi tempat untuk memimpin di semua peringkat.

“Sebaliknya jika salah guna kuasa, menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjatuhkan mereka. (Seperti) BERSATU, ditubuh untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak.

“Budaya ini (kleptokrasi) merosakkan negara kita..dulu kewangan kita baik dan negara dapat membangun dengan pesat tetapi sekarang kita ada hutang lebih RM1 trilion kerana ketamakan Najib yang pinjam banyak dan curi wang.

“Pemimpin macam ini sampai bilapun akan kita jatuhkan, ini tanggungjawab rakyat negara demokratik, kita pilih pemimpin itu hak kita tapi jika lari jauh, maka hak kita juga jatuhkan pemimpin itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan pelancaran BERSATU di Sabah adalah yang terbesar bagi parti yang berusia kira-kira dua tahun itu setakat ini.

Katanya, walaupun baru mengembangkan sayap ke Sabah, minat orang Sabah menyertai parti itu sudah ada sejak awal penubuhannya, namun memutuskan tidak ke negeri ini pada peringkat awal kerana bimbang menjejaskan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tapi selepas itu kita lihat ramai beralih ke BERSATU sebab ia dalam PH..Parti Warisan Sabah (WARISAN) berbeza sebab ia bukan PH, tapi kerana kita hargai Sabah, kita beri tempat parti dari Sabah dilantik sebagai menteri dalam Kabinet, timbalan menteri..soal tidak berada dalam PH tidak halang kita untuk bersama rakyat Sabah.

“Tetapi selepas ada pertukaran kerajaan di Pusat dan Sabah, amat jelas bahawa ramai berminat keluar UMNO, BN dan apabila tinggalkan parti, maka mereka ingin sertai parti lain supaya terus dapat berkhidmat kepada negara dan oleh kerana mereka berminat untuk menyertai parti dalam PH, maka kita buka pintu,” katanya.

Beliau berkata, kedatangan BERSATU ke Sabah bukan untuk menjatuhkan sesiapa sebaliknya mengukuhkan lagi sokongan terhadap parti yang memerintah kerajaan negeri pada hari ini selain Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *