Parti Harapan Rakyat Sabah dibubar, 64,000 ahli akan sertai PPBM

Lajim Ukin (4 dari kiri) memegang bendera PPBM, selepas Parti Harapan Rakyat Sabah dibubarkan hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin mengumumkan pembubaran parti itu hari ini untuk membolehkan 64,000 ahlinya menyertai PPBM.

Katanya, sebanyak 36,744 borang permohonan akan diagihkan pada majlis pelancaran PPBM Sabah esok.

“Kami mahu mendaftarkan semua ahli kami, tetapi masa terlalu pendek untuk mendaftarkan mereka semua.

“Bagaimanapun, saya yakin kami dapat mendaftarkan mereka semua sebagai ahli PPBM tidak lama lagi.”

Harapan Rakyat didaftarkan pada 25 Oktober 2016. Ia adalah parti komponen Gabungan Sabah ketika itu dan bertanding 16 kerusi Parlimen serta 25 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14 lalu, tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Lajim turut gagal mempertahankan kerusinya di Klias, selepas tewas kepada calon Barisan Nasional, Isnin Aliasnih.

Isnin antara 30 pemimpin Umno Sabah yang meninggalkan parti itu akhir tahun lalu dan dijangka menyertai PPBM.

Ditanya hubungannya dengan bekas pemimpin Umno Sabah lain, Lajim berkata, walaupun mereka pernah berselisih faham, ia adalah perkara biasa dalam politik.

Katanya, kemasukan PPBM ke Sabah bertujuan menyatukan pemimpin Bumiputera dan ia adalah parti terbaik untuk berdamai.

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak yang PPBM akan mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Warisan, Lajim berkata, isu itu tidak timbul kerana Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad sudah memberi jaminan parti itu melebarkan sayap ke Sabah untuk memperkukuhkan kerajaan negeri.

“Kami tiada niat mengambil alih atau menuntut kerajaan menerima kami. Kami akan sentiasa menyokong kerajaan dan dasarnya yang kami fikir baik untuk rakyat.

“Bagaimanapun, kami juga akan menyuarakan bantahan kami, jika kami fikir sesuatu dasar tidak memanfaatkan rakyat supaya mereka boleh memperbaiki kesilapan.”

Bekas timbalan ketua menteri itu disebut-sebut sebagai calon untuk mengetuai PPBM Sabah, tetapi bekas ketua Umno Sabah, Hajiji Noor juga dikatakan akan dilantik ke jawatan itu.

Lajim berkata, beliau tiada masalah bekerjasama dengan mana-mana bekas pemimpin Umno Sabah kerana beliau pernah menjadi ahli Umno dan mengenali ramai pemimpinnya.

“Kami akan sokong sesiapa saja yang dipilih PPBM sebagai ketua Sabah kerana keputusan itu terpulang kepada parti itu.

“Sesiapa yang dipilih, kami akan sokong dan bekerjasama dengannya. Kami menyertai parti ini bukan demi jawatan dan kepentingan material, tetapi untuk perubahan.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *