Kota Kinabalu catat kes penyakit tibi paling tinggi di Sabah

FOTO BERNAMA

KENINGAU, 6 April – Sebanyak 5,008 kes pesakit tibi direkodkan di negeri ini pada tahun lepas dengan daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes paling tinggi sebanyak 904 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata Sandakan mencatatkan 594 kes, diikuti Tawau (455), Semporna (388) dan Lahad Datu (387).

Katanya berpandukan statistik tersebut menunjukkan penyakit tibi masih berleluasa di negeri ini dan memerlukan perhatian daripada semua pihak.

“Sejak sekian lamanya kita berhadapan dengan masalah penyakit ini (tibi) dan masih berleluasa dalam kalangan masyarakat.

“Sebab itu objektif utama kita ialah melakukan saringan terhadap kumpulan-kumpulan yang berisiko tinggi penyakit itu (tibi) khususnya mereka yang lemah ketahanan badan, penghidap HIV, mereka yang sedang dalam rawatan kanser serta yang mempunyai kegagalan buah pinggang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri di sini, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis.

Christina berkata pencegahan penyakit tibi seharusnya bermula dari usia muda khususnya golongan pelajar sekolah untuk memahami bagaimana penyakit itu berjangkit serta apakah kesan serta petanda awal penyakit itu.

“Sebab itu sambutan ini (Program Hari Tibi Sedunia) bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan semua pihak perlu bekerjasama membendung penyakit itu kerana jika dibiarkan akan menyusahkan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu lebih banyak pertubuhan sukarela mencontohi usaha Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (Sabata), sebuah persatuan yang banyak menyumbang dalam memberi sokongan kepada pesakit tibi di negeri ini.

Pada majlis itu, Christina mengumumkan dua penerima anugerah tokoh Sabata iaitu Ku Fui Men dan Jamila Bosimin.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *