Jelius minta Tambadau bangkit jumpa Selangor United

KETUA Jurulatih pasukan bola sepak Sabah, Jelius Ating. – Foto Khairull Azry Bidin.

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating mahu anak didiknya melupakan kekecewaan mereka dalam saingan Piala FA sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan Liga Perdana bertemu Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Katanya, kekalahan 0-1 kepada Kelantan United di pusingan kedua saingan Piala FA, Rabu lalu, memang sesuatu yang amat mengecewakan namun mereka perlu cepat melupakannya bagi meneruskan kempen musim ini yang masih panjang.

“Kekalahan itu memang mengecewakan tetapi ia sudah berlalu dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya. Apapun, kita masih boleh ubah sikap dan prestasi untuk lebih positif. Ini perlu kerana kita masih ada saingan Liga Perdana untuk diberi tumpuan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jelius berkata perlawanan bertemu Selangor United esok adalah satu ujian getir buat pasukan itu selepas tersingkir dari Piala FA.

Katanya, kedudukan skuad Tambadau di teratas juga menjadikan mereka kini sebagai antara pasukan sasaran untuk dikalahkan pasukan lain.

“Ianya lebih berat untuk mempertahankan kedudukan di atas daripada memburunya.

“Selangor United memberi masalah kepada pasukan Liga Super Kedah dalam saingan Piala FA. Sebab itu kami kena bersedia dan perlu memberikan persembahan terbaik jika mahu dapatkan keputusan positif,” katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson Batuil, Taesu, Dendy Lowa serta Randy Baruh.

Luka Milunovic pula akan terus menggerakkan bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Ricco Nigel Milus yang akan menggantikan tempat Sabri Sahar yang tercedera manakala dua penyerang import, Carlos Luis Junior dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *