BERSATU ditunggu rakyat Bumiputera, pribumi Sabah

Dr Mahathir diiringi Hajiji tiba sempena Majlis Pelancaran BERSATU Sabah di Penampang. – Foto Edmund Samunting

PENAMPANG: Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah menjadi satu sejarah dalam konteks politik di negeri ini, kata Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, parti ini ditunggu rakyat khususnya Bumiputera dan pribumi di negeri ini untuk memperjuang serta melindungi kepentingan mereka berikutan perubahan kepada landskap politik negara selepas pilihan raya lalu.

“Kami memilih BERSATU kerana yakin dengan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin bertaraf dunia dan rekod cemerlang kepemimpinannya ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini tidak boleh dinafikan.

“Dengan kembalinya Dr Mahathir menerajui kepemimpinan negara, saya yakin beliau dapat memulihkan imej Malaysia yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

“Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat menyatakan BERSATU datang ke Sabah untuk menjajah dan pemikiran sempit seperti ini harus dikikis,” katanya sempena pelancaran BERSATU Sabah di Pusat Komersil dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini, hari ini.

Hajiji yakin pimpinan BERSATU di Sabah juga membuka ruang dan platform baharu kepada golongan muda untuk turut menceburi politik melalui parti ini.

“Kehendak golongan muda tidak boleh diketepikan kerana mereka akan mencorakkan masa depan negara. Kita melihat bagaimana mereka bersuara dan suara mereka turut merubah landskap politik negara dalam pilihan raya umum lalu. BERSATU Sabah sedia memberi ruang kepada mereka,” katanya.

Hajiji berkata, melihat kepada senario politik di Sabah sebelum ini, jelas membuktikan parti nasional diterima, disokong dan diberi mandat oleh rakyat sehingga boleh memerintah negeri ini selama hampir 25 tahun. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *