Mangsa culik Abu Sayyaf diselamatkan

Gambar Harian Ekspres

Kota Kinabalu: Nelayan rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf tahun lepas diselamatkan di Sulu pada Khamis tapi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak kumpulan itu, seorang jurucakap tentera Filipina memberitahu Harian Ekspres.

Jari Abdullah, 34, diculik bersama-sama dua rakyat Indonesia dari bot mereka di perairan Terumbu Pegasus dekat Kinabatangan pada 6 Disember.

“Mangsa baru sahaja diselamatkan hari ini (Khamis) tetapi dia berada dalam keadaan kritikal ketika ini kerana kumpulan Abu Sayyaf sempat menembaknya sebelum anggota tentera dapat menyelamatkannya.

“Dia diselamatkan di Pulau Simisa dan diterbangkan ke hospital tentera di Zamboanga,” jurucakap Pusat Pemerintah Mindanao Barat, Tentera Filipina, Kolonel Gerry Besana, memberitahu akhbar ini, malam tadi.

Februari lalu, isteri Jari, Nadin Junianti Najiri, merayu kepada pihak berkuasa Malaysia agar menyelamatkan suaminya selepas menerima panggilan telefon daripada penculik-penculik yang mengancam untuk mencederakannya jika tiada rundingan dengan Kerajaan Malaysia.

Pada September tahun lalu, dua nelayan Indonesia, Samsul Sangunim dan Usman Yonos, diculik oleh kumpulan yang sama di perairan Semporna.

Usman, 30, melepaskan diri daripada penawannya di Sulu sebelum diselamatkan penduduk tempatan dan diserahkan kepada tentera Filipina pada Disember tahun lepas.

Pada Januari tahun ini, Samsul dilihat berlutut di dalam lubang di sebuah hutan, merayu sambil diacu senjata untuk meminta bantuan, dalam satu video yang menjadi tular. Dia diselamatkan beberapa hari kemudian.

Sebelum ini, Harian Ekspres dalam satu eksklusif Februari lepas melaporkan bahawa Abu Sayyaf telah menuntut wang tebusan 10 bilion rupiah atau RM3 juta bagi dua warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, yang diculik bersama Jari.

Penculikan di Semporna itu mengakhiri keredaan hampir dua tahun dalam kejadian penculikan di timur Sabah, yang bersempadan dengan Laut Sulu, yang pernah digambarkan sebagai salah satu kawasan lanun dan penculikan paling berbahaya di dunia.

Penculikan paling terkenal di timur Sabah berlaku pada 2000 apabila Abu Sayyaf menculik 21 orang termasuk pelancong Barat, dari pulau Sipadan yang terkenal di seluruh dunia sebagai tapak menyelam. – Harian Ekspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *