Kalau belum ajal…

Gambar dari video menunjukkan mangsa terlambung beberapa meter selepas dirempuh Perodua Myvi. FOTO Ihsan Pembaca

WANITA berusia 22 tahun parah selepas dirempuh kereta ketika dia melintas jalan di Jalan Tun Abd Razak, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, mangsa yang cuba melintasi jalan tidak menyedari sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 29 tahun sedang bergerak di lorong paling kanan di jalan berkenaan.

Akibatnya, mangsa dirempuh sehingga melambung kira-kira lima meter dan mengalami kecederaan serius di badan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan bergerak dari arah Petagas menuju ke pusat bandar raya.

Namun katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba melintasi jalan di hadapan pemandu menyebabkannya terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut.

“Pemandu bagaimanapun gagal memberhentikan kenderaan dan terus merempuh mangsa. Mangsa yang parah di bahagian badan, kaki serta tangan kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Habibi menasihatkan pejalan kaki supaya menggunakan jejantas yang disediakan bagi mengelakkan kemalangan.

Selain itu katanya, pemandu kenderaan juga diminta supaya berhati-hati dan tidak memandu laju secara melulu terutamanya di kawasan pusat bandar. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *