Bukan apa yang Sabah mahukan, ahli politik kecewa dengan RUU

Anifah Aman. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ahli politik Sabah menyifatkan rang undang-undang (RUU) meminda Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan Putrajaya di Parlimen hari ini “kekurangan” dan nampak “tergesa-gesa”.

Ahli Parlimen Kimanis, Anifah Aman berkata Putrajaya sepatutnya memberi lebih banyak masa kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengkaji semua aspek pindaan yang bakal dicadangkan sebelum membentangnya di Parlimen.

“Pindaan yang dicadangkan bagi Perkara 1 (2) itu harus bipartisan dan melibatkan semua pemegang taruh. Khususnya, draf RUU itu mesti dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dan suatu resolusi mesti diluluskan bagi meluluskan dan mengamalkan kandungan pindaan yang dicadangkan.

“Pada masa itu, barulah Parlimen mempunyai kesahan politik dan sosio-budaya untuk meluluskan pindaan yang dicadangkan itu.”

Henrynus Amin.

Beliau mahu kerajaan persekutuan supaya tidak tergesa-gesa. “Kita sepatutnya dapat mengkaji semua aspek pindaan yang dicadangkan sebelum dibentangkan di Parlimen. Oleh itu, perbincangan mengenai pindaan Perkara 1(2) perlu ditangguhkan ke sesi Parlimen akan datang,” katanya.

Cadangan Anifah disokong Presiden Parti Kerjasama Kebangsaan, Henrynus Amin, yang mengatakan tidak ada keterbukaan dalam proses membuat pindaan yang diajukan.

Lebih buruk lagi, katanya, susunan kata-kata RUU itu tidak menggambarkan susunan kata-kata asal Perkara 1(2) sebelum pindaan 1976.

Beliau menuduh Menteri Undang-undang Liew Vui Keong menghina rakyat Sabah atas “penipuan” ini dan menggesa Ahli Parlimen Batu Sapi itu menarik balik pindaan yang dicadangkan bagi membolehkan perubahan-perubahan yang mencerminkan susunan kata-kata asal.

“Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mesti menolak draf yang tidak menawarkan apa-apa melainkan satu cemuhan terhadap janji pilihan raya PH dan juga menghina kebijaksanaan orang-orang kebanyakan di Sabah dan Sarawak.”

Tengku Fuad Tengku Ahmad.

Beliau berkata jika Sabah dan Sarawak tidak dapat mencapai matlamat politik mengenai hak negeri melalui rundingan secara baik, Sabah dan Sarawak mesti bersama-sama memfailkan semakan kehakiman berhubung pematuhan istilah dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata pindaan yang dicadangkan itu kekurangan kerana ia tidak mengubah maksud Perkara 1 sedia ada, di mana Sabah dan Sarawak digolongkan dalam 13 negeri.

“Apabila mentakrifkan peruntukan Perlembagaan, struktur Perkara sama pentingnya dengan kata-kata yang dikandungnya. Ini kerana seseorang dapat membayangkan makna, niat dan maksud peruntukan Perlembagaan daripada cara ia ditetapkan dan bagaimana perkataan atau bahagian tertentu ditekankan,” katanya.

Oleh itu, Fuad berkata ia penting, dalam hal Perkara 1 (2), bahawa apa-apa pindaan perlu menunjukkan Malaysia terdiri daripada 3 negara anggota, iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Yong Teck Lee.

“Ini adalah satu penghinaan selepas semua gembar-gembur dan janji-janji.”

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) dan bekas ketua menteri, Yong Teck Lee berkata ayat terakhir dalam huraian membuktikan pindaan itu tiada makna bagi Sabah dan Sarawak.

Ayat terakhir itu berbunyi: “Pindaan ini, dalam apa-apa cara, tidak mengubah fungsi kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri bawah konsep federalisme.”

“Pindaan ini tidak mengubah apa-apa. Lihat ayat terakhir ini,” katanya.

Jainab Ahmad Ayid.

Ketua Wanita Umno Sabah dan bekas menteri negeri, Jainab Ahmad Ayid juga tidak senang dengan pindaan yang dicadangkan itu, terutama kerana ia “tidak seperti apa yang diharapkan dan dikehendaki orang Sabah”.

“Kami mahu status kami sebagai rakan setaraf diiktiraf. Ini hanya mengalihkan kedudukan kami daripada disenaraikan bersama negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu kepada kumpulan lain.

“Ia tidak bermakna apa-apa dan ia tidak mengatakan apa-apa mengenai implikasi kewangan hasil daripada perubahan ‘baru’ ini,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *