Mati ditetak di kebun

MASTAN Komong ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan, dipercayai dibunuh di Kampung Marak Parak. – Foto ihsan PDRM

KOTA MARUDU: Seorang pekebun ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan, dipercayai dibunuh di Kampung Marak Parak di sini, petang semalam.

Mayat Mastan Komong, 50, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 4.30 petang dengan kesan tetakan di pergelangan tangan, tengkuk dan dagu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang oleh penduduk kampung berhampiran kebun miliknya.

Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui sebilah parang dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa.

“Hasil soal siasat dan keterangan saksi, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa berkaitan paip air.

“Seorang saksi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa melihat suspek menunggang motosikal secara laju keluar dari arah lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mohd Izaan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu dan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada pendarahan akibat luka tetakan objek tajam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *