Hostel Panalaban Baharu Gunung Kinabalu Kini Dibuka Dengan Rasmi

Pemandangan dari kawasan atas Panalaban yang memperlihatkan dua buah hostel baharu Panalaban di kiri dan kanan. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

KUNDASANG: Seramai 49 pendaki termasuk kakitangan Taman-taman Sabah (TTS), pengamal media, rombongan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Assaffal P. Alian serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) membuat pendakian ke Gunung Kinabalu pada 1 April.

Pendakian tersebut adalah sebagai simbolik pelancaran dua buah hostel baharu di Panalaban iaitu hostel Mokodou dan Kinatoki.

Laluan ke dua buah hostel tersebut. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Ketika pendakian seramai 24 rakan media Sabah dan juga Semenanjung turut membuat liputan pelancaran dua buah hostel baharu yang dikendalikan oleh TTS.

Pengarah TTS, Dr Jamili Nais berkata pendakian tersebut adalah sebagai simbolik pelancaran hostel Mokodou dan Kinatoki yang mana mampu memuatkan seramai 50 pendaki dalam satu-satu masa.

Hostel baharu Panalaban yang kini dibuka kepada pendaki. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Katanya dengan pelancaran itu menjanjikan pertambahan bilangan pendaki Gunung Kinabalu.

“Namun buat masa ini, kita (TTS) akan membuka dan mengehadkan seramai 30 pendaki dahulu bermula hari ini (1 April).

Susun atur katil penginapan baharu di Panalaban. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kemudian, kita akan menambah 10 lagi slot pada masa akan datang menjadikan saramai 175 pendaki.

“Bilangan itu akan bertambah menjadi 185 slot apabila kedua-dua hostel ini beriperasi sepenuhnya,” katanya pada majlis Makan Malam Pendakian Bersama Rakan Media Sempena Pembukaan Hostel Panalaban, Gunung Kinabalu 2019, di sini, pada Ahad.

Antara laluan yang dilalui oleh pendaki untuk sampai ke Panalaban. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Tambahnya pembukaan hostel-hostel tersebut adalah bagi menggantikan hostel lama yang musnah selepas gempa pada 2015 lalu.

Jelasnya dua hostel yang rosak teruk dihempap batuan besar yang jatuh dari atas gunung adalah Panarlaban Hut dan Gunting Lagadan.

Jamili (empat kanan) berehat sebentar bersama rakan media dan rombongan pendakian Gunung Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Jamili berkata Gunting Lagadan Hut masih boleh dilawati oleh pendaki kerana kawasan tersebut dijadikan sebagai tempat bersejarah.

“Ia membolehkan pendaki melihat sendiri keadaan di kawasan tersebut selepas insiden gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter pada 5 Jun 2015,” tambahnya. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *