Diserbu sedang berpesta liar

INDIVIDU yang ditahan kerana terbabit dalam pesta liar di sebuah hotel di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM

SERAMAI 14 individu termasuk enam wanita menyewa bilik hotel, di Kota Kinabalu, untuk tujuan khayal dan berhibur, ditahan dalam serbuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis yang mendapat maklumat berkaitan kegiatan itu menyerbu bilik di hotel berkenaan pada 12.30 tengah hari dan menemukan 14 individu termasuk enam wanita disyaki sedang berpesta liar.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel itu menemui satu pinggan kecil berisi 1 gram dadah jenis ketamin bernilai RM50 untuk tujuan berhibur.

“Seterusnya ujian air kencing mendapati 12 daripadanya positif dadah jenis ketamin iaitu lapan lelaki dan empat wanita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek baru keluar dari pusat hiburan di sekitar bandar raya dan menjadikan bilik hotel sebagai persinggahan bagi tujuan khayal sambil berhibur.

“Semua tangkapan berusia antara 21 hingga 35 tahun terdiri daripada warga tempatan dan dua warga Filipina.

“Tangkapan dan rampasan di bawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *