Bukan Bertujuan Untuk Menjatuhkan Kerajaan Warisan – DR M

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memasuki Sabah untuk memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah bukannya menjadi lawan.

“Kita ingin jelaskan apabila kita pergi ke Sabah tujuannya ialah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana),sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan,” katanya.

“Bersatu akan memasuki Sabah, ada beberapa masalah dengan proses kemasukan kami kerana ada yang cuba mengambil kesempatan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kemasukan kami ke Sabah adalah untuk menubuhkan Bersatu di sana. Kami akan menyokong sepenuhnya Warisan, kami tidak akan bersaing apa-apa jawatan.

Video Ehsan – STAR TV

“Kami masuk semata-mata untuk menyokong Warisan,” kata beliau yang merupakan Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan.

Dr Mahathir memberi peringatan bahawa kemungkinan ada pihak yang cuba memanipulasi langkah parti itu masuk ke Sabah untuk menentang Warisan.

“Sesiapa yang berhajat demikian jangan jadi ahli Bersatu. Bersatu di Sabah bertujuan menyokong kerajaan Warisan, saya akan buktikan,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu di ibu pejabat parti itu hari ini.

Sebelum ini, Bersatu yang menubuhkan Kerajaan Pusat bersama Pakatan Harapan selepas menang dalam pilihan raya umum menyatakan tidak akan memasuki Sabah tetapi telah membuat pusingan U.

Februari lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri menyatakan kerajaan tidak akan menghalang Bersatu membuka cawangan di Sabah, malah akan terus bekerjasama dengan PH untuk menunaikan mandat rakyat. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *