Usul pindaan perlembagaan dibentang minggu ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

KOTA KINABALU: Usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu ini atau minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata kertas usul berkenaan sudah siap dan hanya menunggu untuk ditandatangani sebelum diserahkan ke Pejabat Dewan Rakyat untuk kelulusan dan dibentangkan.

Katanya, jika tidak sempat dilakukan dalam minggu ini, bacaan pertama dan kedua usul itu akan dilakukan minggu depan sebelum satu mesyuarat pra majlis diadakan bersama semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Usul sudah sedia (dibentang) dan saya difahamkan pagi tadi kertas itu sudah disediakan untuk saya tandatangan apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

“Sebab itu saya perlu segera balik untuk tandatangan kertas usul berkenaan dan bentang minggu ini atau minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini, hari ini.

Vui Keong berkata, pembentangan usul itu sememangnya ditunggu-tunggu dan ramai yang menghubunginya menyatakan pendapat bahawa ia adalah langkah yang baik untuk Sabah dan Sarawak serta seluruh negara.

“Ia adalah pindaan perlembagaan yang penting dan kita melihat ke hadapan bahawa ia akan menyatukan lagi negara kita,” katanya.

Ditanya mengenai kandungan kertas usul itu, beliau berkata ia tidak boleh didedahkan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat tetapi menjelaskan hanya ada satu perkara yang dibentangkan iaitu pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pindaan itu menumpukan aspek menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sama rata dengan Semenanjung seperti kedudukan sebelum tahun 1976.

“Dari situ, kita akan lihat langkah seterusnya, termasuk mungkin ada pindaan lain tetapi tidak semestinya semua mesti dibentangkan di Parlimen. Cuma bagi saya, pindaan ini besar dan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga,” katanya.

Katanya, selepas dibentangkan, orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyalurkan pandangan atau maklum balas masing-masing berkaitan usul itu kepada wakil rakyat mereka supaya ia dapat dibincangkan pada mesyuarat pra majlis yang diadakan nanti.

Vui Keong sebelum ini mengumumkan bahawa usul pindaan perlembagaan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Semenanjung akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *