Perluas nasihat undang-undang untuk masyarakat luar bandar

SHAFIE (kiri) mengatakan sesuatu kepada Juhar ketika melihat pameran.

KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah atau Sabah Law Society (SLS) serta para pengamal perundangan disaran memperluas dan memperhebatkan khidmat nasihat undang-undang kepada masyarakat di luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu penting untuk menangani isu kekurangan akses kepada keadilan dalam kalangan masyarakat kurang mampu di bandar serta di luar bandar yang berdepan pertikaian.

“Kekurangan akses kepada keadilan adalah isu besar di seluruh dunia, terutama di negara-negara membangun yang menimbulkan isu sosial, ekonomi dan kemiskinan.

“Di Sabah, kita dapat melihat ia berlaku kepada orang-orang miskin di kawasan luar bandar dan rakyat biasa di kawasan bandar yang mungkin mempunyai pertikaian keluarga, pertikaian atas hutang, pertikaian terhadap harta benda.

“Bagi golongan ini, mereka tidak mampu membayar yuran peguam atau mungkin tidak tahu bagaimana, atau ke mana mendapatkan nasihat undang-undang yang tepat,” ujarnya.

Tambahnya, isu berkenaan sangat relevan dengan kehidupan harian masyarakat yang miskin di bandar serta luar bandar yang mungkin berdepan masalah perundangan.

“Sebagai contoh, masalah yang selalu menjadi pertikaian adalah hak terhadap tanah dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan pertikaian berkenaan, sedangkan kehidupan mereka hanya bergantung kepada tanah.

“Tanpa nasihat undang-undang yang betul, bayangkanlah bagaimana mereka dan keluarga mereka akan terjejas dengan teruk,” katanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin.

Majlis perasmian kompleks berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah, Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Mengenai kompleks berkenaan, Shafie berkata Kerajaan Sabah mengucapkan syabas kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) selaku agen pelaksana Kerajaan Persekutuan yang berjaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan pembinaan projek bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Jelas beliau, pembinaan kompleks itu adalah sejajar dengan pembangunan yang sedang pesat membangun di bandaraya Kota Kinabalu dalam menyambut agenda pembangunan negara yang perlu mempertingkatkan prasarana fizikal badan kehakiman.

Menurut beliau, bangunan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu telah dibina di atas tanah seluas 6.25 ekar dengan kos RM148 juta.

Projek pembinaannya dimulakan pada 22 Julai 2014 dan telah diserahkan oleh pihak JKR kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selaku wakil pelanggan pada 9 Ogos 2018 seterusnya kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia selaku wakil pengguna (end user).

Bangunan setinggi enam tingkat itu dilengkapi 16 bilik bicara yang menempatkan sebuah Mahkamah Persekutuan, empat Mahkamah Tinggi, enam Mahkamah Sesyen, lima Mahkamah Majistret serta pelbagai bilik sokongan bagi menjamin keselesaan pihak yang berurusan dengan mahkamah demi mendapatkan keadilan.

Selain itu, Shafie berkata bangunan berkenaan mempunyai kelengkapan teknologi Integrated Court System (ICS) yang memantapkan penggunaan Court Recording and Transcribing System (CRT), Sistem Pengurusan Kes (CMS), Sistem Sidang Video (Video Conferencing System), Sistem e-Review dan Sistem e-Court Finance (ECF) yang mampu mengurangkan birokrasi dan memudahkan lagi segala urusan kerja, pengurusan kes dan perbicaraan.

“Pembangunan serta kecanggihan terkini yang terdapat di kompleks ini adalah ilham dan hasil usaha yang diterajui sendiri oleh Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif Tan Sri Richard Malanjum.

“Beliau begitu prihatin dan sangat menekankan kemajuan berterusan dan terkehadapan bukan sahaja dalam aspek insaniah malahan infrastruktur prasarana yang berhubung kait dengan mahkamah.

“Kita berharap kewujudan dan kepelbagaian kemudahan prasarana terkini yang telah dibina ini akan meningkatkan lagi komitmen serta semangat bekerja semua pegawai dan kakitangan Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau turut berharap perkhidmatan yang disalurkan akan bertahap profesional, cekap dan efisien sejajar dengan bangunan dan kemudahan infrastruktur bertahap moden yang telah dibangunkan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *