Kajian Semula MA63 Akan Pastikan Sabah, Sarawak Setara Dengan Semenanjung Dalam Pembangunan

KUCHING, 2 April – Persetujuan kerajaan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan memastikan tahap pembangunan di Sarawak dan Sabah setara dengan Semenanjung Malaysia.

Peguam Paul Raja berkata ini menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mengotakan apa yang dikatakannya kerana meminda Perkara 1(2) akan menyediakan kerangka perlembagaan untuk memudah cara undang-undang lain dan kaedah perundangan untuk menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf.

“Di bawah rejim sebelumnya, ia hanyalah cakap sahaja. Sekurang-kurangnya rejim baharu, PH berani untuk bertindak dan mengotakan apa yang mereka cakap…apa yang Sarawak dan Sabah mahu adalah – tahap pembangunan yang setara dengan Semenanjung Malaysia.

Akhirnya, aspek yang paling penting dalam semua ini ialah wang, belanjawan, ekonomi dan pembangunan. Ia bukanlah hanya mengenai undang-undang dan perlembagaan,” kata Paul yang juga Presiden Kongres Dayak Kebangsaan kepada Bernama.

Pindaan itu dijangka dibentangkan dalam Parlimen yang kini sedang bersidang.

Justeru, beliau berkata menjadikan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf juga bermakna pengagihan belanjawan dikongsi sama rata dengan Sarawak dan Sabah, satu perkara yang mungkin hangat diperdebatkan.

Paul, berkata sebelum ini terdapat banyak dalih untuk tidak memberikan Sarawak dan Sabah dana yang mencukupi, yang beliau dakwa sebagai “alasan yang tidak kukuh” kerana tidak mahu orang Sarawak, terutamanya masyarakat pedalaman mendapat manfaat.

Beliau berkata langkah itu bukannya satu penyudahan tetapi satu cara untuk satu pengakhiran dan bagaimana orang Sarawak akan mendapat manfaatnya bergantung dengan cara setiap pihak berunding — keikhlasan mereka, kemahiran dalam rundingan, pendekatan mereka dan yang paling penting adalah kesanggupan untuk memiliki dasar nasional yang adil dan saksama kepada semua pihak di Malaysia.

“Tiada sesiapa yang amat bimbang dengan undang-undang dan perlembagaan apabila pembangunan diagihkan dengan adil ke seluruh negara dan tidak tertumpu hanya kepada negeri-negeri tertentu,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu Dr John Brian Anthony berkata cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan perlu memenuhi niat dan semangat MA63 dengan memiliki autonomi ke atas sumber ekonomi penting selain daripada mengembalikan semula hak Sarawak ke atas pendidikan, kesihatan, domain wilayah dan kutipan cukai.

Berikutan pindaan yang dibuat ke atas Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1976, menyatakan negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Terengganu. Ini bermakna kedua-dua negeri adalah sama taraf dengan negeri-negeri Semenanjung dan bukannya dua wilayah berasingan atau rakan setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *