Tragedi keluar simpang

Keadaan selepas kemalangan membabitkan motosikal dan dua kereta jenis Perodua Viva di Kilometer 4, Jalan Papar – Beaufort. FOTO Ihsan PDRM

PENUNGGANG maut selepas terbabit kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 4, Jalan Papar – Beaufort, di Papar, semalam.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, penunggang lelaki berusia 20-an meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemandu kedua-dua kereta jenis Perodua Viva tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal itu dari arah papar menghala ke Beaufort.

Katanya, kemalangan itu berlaku apabila penunggang itu dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapan kerana ketika itu jalan sesak.

“Pada masa sama, mangsa cuba mengelak sebuah kereta yang keluar simpang kiri jalan, namun hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah kereta lain di hadapan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *