Segerakan penggantian sekolah tidak selamat

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan diminta supaya menyegerakan penggantian lebih 60 sekolah tidak selamat di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata perkara itu menjadi keutamaan kerajaan negeri dan kementeriannya sebelum Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) berakhir.

“Dalam RMKe-11, kerajaan negeri khuatir kerana ada 69 sekolah dikategorikan tidak selamat di Sabah.

“Justeru, kita memberi keutamaan dan tumpuan kepada sekolah yang dikategorikan tidak selamat.

“Kita juga mencari jalan untuk menyegerakan penggantian sekolah tidak selamat terbabit,” katanya selepas melakukan lawatan ke Perpustakaan Sabah cawangan Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perpustakaan Sabah, Wong Vui Yin.

Perpustakaan tersergam dengan inspirasi seni ukir kraf etnik tempatan itu mula dibina pada 2014 dan mula dibuka kepada awam, hari ini.

Dalam pada itu, Yusof juga berharap supaya lebih 500 sekolah daif di Sabah dapat dinaik taraf dalam RMKe-12 nanti.

Mengulas mengenai pemilihan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pula, beliau yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua WARISAN Bahagian Sipitang, berharap semua yang bertanding akan mengikut peraturan berlandaskan perlembagaan parti.

“Apa yang penting ialah sesiapa menawarkan diri untuk bertanding, mampu memberi sumbangan dan berkhidmat kepada parti serta rakyat,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *