Polis Kota Kinabalu tahan tujuh PATI dalam operasi cegah jenayah

Antara orang yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah IPD Kota Kinabalu – Gambar Arkib

KOTA KINABALU, 1 April – Polis menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI)  dalam operasi cegah jenayah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata operasi bermula pukul 5 petang hingga 11 malam itu dijalankan di tujuh lokasi sekitar Kota Kinabalu.

“Tumpuan lokasi operasi dijalankan adalah kawasan bandaraya bagi membendung kadar pertumbuhan pendatang tanpa izin yang boleh mengundang kepada kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan termasuk dua wanita berumur antara 19 hingga 55 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Habibi berkata operasi berkenaan ini turut dibantu oleh agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara  dan Jabatan Imigresen. 

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui  Facebook Polis Kota Kinabalu dalam usaha untuk membanteras jenayah, PATI dan gejala sosial di Kota Kinabalu,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *