Perpustakaan Tanjung Aru mula beroperasi hari ini

Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru

KOTA KINABALU, 1 April – Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru mula dibuka dan beroperasi hari ini.

Perpustakaan baharu yang dibina sejak 15 Mac 2014, di tapak seluas tiga ekar di Tanjung Aru itu siap sepenuhnya bulan lepas.

Projek pembinaan perpustakaan berkenaan dibina melalui usaha sama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Syarikat Lahad Datu Water Supply Sdn Bhd dan Sabah Development Bank yang masing-masing telah menyumbangkan RM20 juta, menjadikan jumlah keseluruhan projek bernilai RM40 juta.

Ketika melawat perpustakaan itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berharap ia dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat di sekitar Kota Kinabalu, khususnya Tanjung Aru.

“Saya melihat perpustakaan ini serba lengkap dan pelbagai kemudahan yang disediakan sebagai sumber ilmu. Kita juga berharap perpustakaan ini dapat menggalakkan pelajar dan orang awam menggunakan kemudahan ini untuk mencari ilmu,” katanya.

Beliau berkata perpustakaan berkenaan dijangka  dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 23 April ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *