17 kenderaan disita dalam Ops Samseng Jalanan

Anggota Polis bertugas memeriksa beberama kenderaan dalam Ops Samseng Jalan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sebanyak 17 kenderaan disita dalam Ops Samseng Jalanan membabitkan sekatan jalan raya di tiga lokasi sekitar sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula jam 1.30 pagi hingga 5 pagi pada Ahad.

Menurutnya, kenderaan yang disita termasuklah sebuah kereta dan 16 motosikal atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sebanyak 24 keping saman dikeluarkan dalam operasi ini termasuklah kesalahan tertinggi iaitu 11 saman nombor pendaftaran kenderaan dan tujuh saman tiada lesen memandu.

“Kenderaan paling kerap disaman adalah motosikal iaitu sebanyak 14 buah dan diikuti sembilan buah kereta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Ops Samseng Jalanan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) melibatkan satu pegawai dan 12 anggota polis.

Habibi berkata, tugasan operasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu pasukan yang mengesan Mat Rempit dan juga sekatan di bulatan (Snap Check) sekitar bandaraya.

Katanya, usaha penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tiada aktiviti lumba haram di kawasan bandaraya. – Utusan Borneo

Antara motosikal yang disita dalam operasi tersebut.
Antara motosikal yang disita dalam operasi tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *