Polis Marin Sandakan tahan kapal nelayan Vietnam di perairan Pulau Jambongan

BOT nelayan termasuk lima lelaki serta juragan dipercayai warga Vietnam berusia 30 hingga 40 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menangkap ikan tanpa permit dalam Op Pensura di perairan Pulau Jambongan, Beluran. – Foto IHSAN PPM.

SANDAKAN, 31 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan yang menjalankan Operasi Pensura menahan sebuah kapal nelayan Vietnam di kawasan perairan Pulau Jambongan dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata PPM Sandakan menahan seorang lelaki Vietnam berumur 30 tahun yang merupakan juragan kapal itu bersama empat lagi anak kapal, semuanya lelaki dari negara yang sama di dalam kapal nelayan terbabit.

“Mereka gagal mengemukakan permit menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan.

Siasatan awal juga mendapati nombor pendaftaran di bahagian hadapan kapal nelayan tersebut telah dicat dengan warna hitam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 25 Akta Perikanan 1985.

Nilai rampasan termasuk kapal nelayan itu dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM700,000.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *