Panik si pemabuk

MOHD Haris memeriksa lesen seorang pengguna jalan raya yang ditahan kerana mabuk. FOTO Junaidi Ladjana

SEORANG pemandu yang panik melihat sekatan jalan raya di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, dekat SMK Bahang, Penampang, awal pagi tadi, bukan saja melanggar kon keselamatan polis malah muntah di dalam kenderaan dipandunya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu Nissan X Trail itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Luyang.

Ketika melihat sekatan jalan oleh sepasukan anggota bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dia cuba memotong Q sebelum melanggar kon keselamatan.

Anggota polis yang melihat keadaan itu terus bertindak menahan kenderaan lelaki terbabit sebelum dia tiba-tiba muntah.

Saringan awal menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) yang dijalankan di lokasi mendapati bacaan kandungan alkohol pemandu terbabit lebih 200 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml).

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim yang mengetuai operasi itu berkata, lelaki itu ditahan selepas disyaki memandu dengan kandungan alkohol dalam nafas melebihi had yang ditetapkan.

“Lelaki itu antara 11 pemandu yang ditahan kerana memandu dengan kandungan alkohol dalam nafas melebihi had ditetapkan.

“Semua sebelas orang yang ditahan berusia 24 hingga 42 tahun di bawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut sebelum dibebas dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang media sebaik saja Op Mabuk selesai.

Mohd Haris berkata, menerusi Op Mabuk yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi itu, polis turut mengeluarkan 34 saman dengan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, gagal tunjuk lesen, Lesen Kenderaan Memandu tamat tempoh, ubahsuai plat pendaftaran, lampu brek gagal berfungsi dan ubahsuai ekzos.

“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu-lintas.

“Selain itu, ia juga bagi mengelak individu memandu ketika berada dalam pengaruh alkohol yang mana boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu, operasi dijalankan seramai dua pegawai dan sebelas anggota dari BSPT dan turut dibantu enam anggota anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM). – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *