Pak Tam sudah tiada

PELAWAK Pak Tam, 61, atau nama sebenarnya Muhammad Nooruulah disahkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen dalam badan dan paru-paru berair di rumahnya di Kampung Permatang Badak, Kuantan, jam 9.30 pagi tadi.

Isterinya, Fatimah Apong, 58, ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatan arwah merosot sejak dua bulan lalu selepas keluar dari Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.

“Arwah sudah sakit beberapa tahun lalu. Malah, empat tahun lalu dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Ketika itu, doktor memaklumkan penyakit dialami boleh membuatkan arwah pergi bila-bila masa saja sekiranya tidak dikawal.

“Sejak itu, saya dan anak-anak jaga kandungan air dalam badan. Dia tidak boleh minum lebih. Jika tidak, jantung tidak boleh dipam dan berfungsi dengan baik.ADVERTISING

“Selepas keluar hospital dua bulan lalu, arwah semakin tidak larat. Sesekali bawa keluar jalan-jalan, tapi dia duduk dalam kereta saja. Dia tidak mampu bergerak banyak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fatimah, arwah meninggal di sisinya tanpa sempat dibawa ke hospital.

“Sepatutnya, arwah tidur dengan bantuan mesin oksigen. Tetapi, sudah lebih setahun mesin tidak ada. Jadi, sejak itu arwah akan tidur duduk.

“Sebelum meninggal pagi tadi, saya tak sedap hati melihat keadaan arwah. Saya pun panggil adiknya dan terus menghubungi ambulan. Namun, Allah lebih sayangkan arwah.

“Kesemua anak tidak dapat melihat arwah pergi. Malah, seorang anak yang duduk di Pulau Pinang masih dalam perjalanan pulang.

“Insya-Allah, kami tunggu dia sampai dulu. Selepas itu, baru kita kebumikan yang dijangka selepas Maghrib nanti,” katanya.

Fatimah berkongsi, arwah sempat berpesan supaya tidak dimasukkan ke hospital. Malah, arwah juga mahu merakamkan gambar kenangan dengan kesemua lapan cucu sewaktu cuti sekolah baru-baru ini.

“Baru-baru ini arwah ada buat permintaan nak bergambar dengan semua cucu. Kebetulan mereka semua ada berkumpul di rumah ini.

“Selain itu, arwah juga berpesan supaya tidak membawanya ke hospital. Jika tidak, dia takkan kembali lagi,” katanya.

Arwah meninggalkan seorang balu, empat anak yang berumur antara 29 dan 36 tahun dan lapan cucu. Pak Tam adalah bekas peserta Rajalawak musim kedua. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *