Jumpa dompet RM12,100 dapat RM303,600

SHALONG bersama anaknya. FOTO/AGENSI

BEIJING: Seorang bapa miskin yang terdesak memerlukan wang untuk pembedahan sum-sum tulang anak lelakinya tidak menyangka kejujurannya memulangkan dompet berisi wang tunai 20,000 yuan (RM12,100) ditemuinya di tepi jalan akhirnya membuahkan rezeki jauh lebih murah untuknya sekeluarga.

Tang Shaolong, dari Jining, Shandong, memerlukan wang yang banyak untuk membolehkan anak lelakinya berusia dua tahun yang menghidap sindrom hemofagositik menjalani pemindahan sum-sum tulang di sebuah hospital di Jinan, lapor South China Morning Post.

Doktor berkata, Tang sudah membayar 200,000 yuan (RM121,400) namun jumlah itu masih belum mencukupi kerana kos operasi pemindahan itu berjumlah 400,000 yuan (RM242,900).

Ketika keluar dari hospital untuk membeli makanan anaknya Tang menemui dompet di tepi jalan berisi wang tunai 20,000 yuan (RM12,100), kad bank, kad perniagaan dan lesen memandu.

“Sejujurnya, saya sangat gembira menemui wang begitu banyak. Saya fikir ia pemberian Tuhan yang mengetahui saya berasa risau kerana kekurangan wang untuk menyelamatkan nyawa anak saya dan ia mungkin membantu saya.

“Tetapi serentak itu saya terfikir, wang itu dijumpai berhampiran hospital dan mungkin simpanan seseorang yang amat memerlukannya,” kata Tang.

Susulan itu, Tang memutuskan memulangkan dompet itu kepada pemiliknya seorang penanam sayur, Ding Yilong malah menolak menerima ganjaran wang tunai.

Justeru, Ding cuba membantu Tang membiayai pembedahan anaknya dengan mendermakan lobak hampir 200 tan untuk dijual.

Selepas cerita mengenai mereka muncul dalam akhbar Qilu Evening News pada hari Ahad dan sayur-sayuran mereka habis dijual menjelang Selasa.

Hasil jualan lobak kira-kira 500,000 yuan (RM303,600) itu dapat menampung kos pemindahan sum-sum tulang anak Tang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *