Sabah miliki resepi jadi negeri pesat membangun

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap semasa Program Sipitang Baharu di Dataran Esplanade Sipitang di sini, hari ini.

SIPITANG, 30 Mac – Sabah memiliki resepi menjadi sebuah negeri pesat membangun berikutan negeri itu dilimpahi dengan pelbagai sumber asli, bahan mentah dan destinasi pelancongan menarik yang boleh dimanfaatkan untuk melonjakkan lagi pertumbuhan ekonominya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kekayaan sumber dimiliki Sabah adalah kekuatan menarik lebih banyak pelaburan bagi merancakkan sektor perindustrian negeri sekali gus meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri maju di rantau ini.

Beliau berkata kekayaan sumber asli dan bahan mentah itu juga akan membolehkan Sabah mempelbagaikan ekonomi ke arah pembangunan perindustrian lebih mampan sekali gus tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil balak.

“Kerajaan negeri akan membuat perancangan rapi kerana Sabah mempunyai potensi cukup besar yang bukan hanya pada industri minyak dan gas, balak dan pelancongan tetapi banyak lagi termasuk pembuatan gelas, kilang perabot dan terminal makanan.

“Kesemua ini penting bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri itu untuk anak Sabah,” katanya berucap melancarkan Program Sipitang Baharu – Bersih dan Indah di Dataran Esplanade Sipitang di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan terus komited memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan di setiap daerah supaya rakyat negeri itu dapat bersama-sama menikmati hasil ekonomi negeri.

Bagaimanapun, ketua menteri turut mengingatkan perpaduan dan kesefahaman rakyat pelbagai kaum di negeri itu juga adalah antara resepi penting bagi membina Sabah lebih berdaya maju dan progresif.

Mengenai Sipitang, Mohd Shafie berkata, daerah terletak kira-kira 135 kilometer dari ibu negeri itu mempunyai potensi ekonomi luas tidak hanya dalam industri minyak dan gas tetapi juga pelancongan.

Sipitang mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia adalah daerah di Sabah yang menjadi pintu masuk dua negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia selain Sarawak, katanya.

Ketika berucap di majlis sama, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, berkata program Sipitang Baharu – Bersih dan Indah adalah langkah pertama mentranformasikan daerah itu khususnya kawasan pekan yang berimej bersih, cantik dan bebas daripada sampah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *