Karnival Burung Dan Kupu-Kupu, Tarikan Pelancongan Baharu Di Kadamaian

Ewon melawat pameran pelbagai jenis burung dan kupu-kupu pada majlis itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Penganjuran karnival burung dan kupu-kupu setiap tahun menjadi salah satu tarikan baharu pelancongan luar bandar khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata aktiviti pemerhatian burung, kupu-kupu dan serangga mempunyai kumpulan peminat tersendiri di kalangan pelancong, saintis serta ahli akademik yang boleh dikembangkan sebagai pendapatan tambahan kampung-kampung pengusaha eko-pelancongan luar bandar.

“Saya memberi penghargaan besar kepada Kelab Rotari Kota Kinabalu dan Yayasan Kelab-kelab Rotari Malaysia kerana memilih Kg Kiau Kadamaian sebagai destinasi penganjuran Karnival Burung dan Kupu-kupu sejak tahun lepas.

“Saya difahamkan ramai pelancong berkunjung ke kampung ini dan kampung sekitar Taman Kinabalu semata-mata mahu melihat sendiri pelbagai spesies burung dan kupu-kupu di kawasan ini selepas karnival seumpama ini dimulakan pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Burung dan Kupu-Kupu Peringkat Negeri Sabah anjuran Kelab Rotary Kota Kinabalu, Taman-Taman Sabah, Kiau Bird Watching Team dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata para pengusaha homestay, pemandu pelancong dan penyedia perkhidmatan seperti gerai makanan mendapat manfaat pendapatan daripada cabang pelancongan seperti ini.

Ewon merasakan sendiri cara-cara peminat pemerhati burung untuk melihat spesies burung yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Dengan kata lain, ia boleh meningkatkan dan merancakkan program ekonomi di kampung-kampung tumpuan pelancong tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Ewon menyeru komuniti Kg Kiau dan komuniti luar bandar lain untuk menjaga dan memelihara sumber hutan alam sekitar agar habitat spesies burung, kupu-kupu, serangga dan haiwan lain dapat terus menjadi tarikan pelancongan.

“Program seumpama ini menuntut tanggungjawab bersama untuk memelihara alam sekitar dan habitat flora dan fauna, bukan hanya untuk program pendidikan dan ekonomi, tetapi juga memberi peluang kepada generasi akan datang melihat dan menghargai apa yang kita ada sekarang.

“Ianya tanggungjawab bersama semua pihak, sama ada di pihak Kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan atau diri kita sendiri sebagai komuniti.

“Mungkin pada tahun hadapan, kita boleh mengadakan karnival ini pada skala yang lebih besar dan dimasukkan dalam kalender pelancongan Kadamaian. Saya juga menyokong sekiranya Kiau Bird Watching Team dapat membukukan gambar-gambar yang diperolehi sepanjang tahun untuk diterbitkan dan dikongsi kepada orang ramai,” katanya.

Penganjuran kali ini melibatkan enam buah sekolah yang dibiayai oleh Kelab Rotari Kota Kinabalu dan Yayasan Kelab-kelab Rotari Malaysia.

Sebagai sokongan pelaksanaan karnival ini, Ewon telah menyalurkan peruntukan touchpoints sebanyak RM5,000 melalui Kiau Bird Watching Team. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *