Dua Lelaki Menyamar Sebagai Anggota Polis Dan Memeras Ugut Diburu

LAHAD DATU: Dua lelaki kini diburu polis dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melakukan peras ugut terhadap dua wanita di hadapan sebuah kedai, Batu 1 Jalan Segama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan mencari sarapan di restoran berhampiran sebelum dihampiri dua lelaki menaiki kenderaan jenis Proton Saga lama berwarna hitam, nombor pendaftaran kenderaan SD4122.

Lokasi kedua-dua mangsa diugut oleh dua suspek yang mengaku sebagai anggota polis. Gambar SNT / Ihsan Media Sosial

“Suspek yang berbadan gempal, berbaju warna kelabu memaksa mangsa masuk ke dalam kenderaan tersebut dan duduk di bahagian belakang sebelum menarik seorang lagi mangsa dan terus membawa mereka menuju ke Pondok Polis Darvel.

“Kedua-dua mangsa diugut di hadapan Pondok Polis itu dan meminta bayaran RM200 bagi menyelesaikan masalah dokumen tetapi mangsa mengatakan dirinya tidak ada masalah dokumen,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata suspek kemudian mengugut akan membawa mangsa ke IPD Lahad Datu jika mangsa tidak memberikan wang yang diminta.

“Mangsa kemudian bersetuju menyelesaikan masalah tersebut dan meminta kebenaran untuk mengeluarkan wang tunai di mesin ATM berhampiran Pondok Polis.

“Selepas mengeluarkan wang tunai, mangsa terus membayar RM200 kepada suspek. Mangsa juga meminta RM50 daripada suspek untuk tambang balik ke rumah sebelum dilepaskan,”katanya.

Beliau berkata, wang tunai RM250 yang disorok dalam beg tangan mangsa turut hilang dipercayai telah diambil oleh suspek sebelum mangsa dilepaskan manakala mangsa kedua dilepaskan di hadapan sebuah hotel di daerah ini kerana dipercayai tidak mempunyai wang dan memiliki dokumen yang lengkap.

“Orang ramai diminta membantu pihak polis mengesan kedua-dua suspek dan melaporkan jika terserempak dengan kenderaan jenis Proton Saga lama berwarna hitam, nombor pendaftaran kenderaan SD4122 dan bercermin gelap.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *