Doktor wanita parah kemalangan

KEMALANGAN membabitkan kereta Proton Persona dinaiki lima doktor bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ranau Bypass, Kota Belud. – Foto Recqueal Raimi.

KOTA BELUD: Seorang doktor wanita parah manakala dua rakannya termasuk pemandu cedera ringan selepas kereta dinaikinya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ranau Bypass, di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 10.20 pagi itu, mangsa Afiqah Bahaman, 28, parah pada kepala dan mata manakala dua lagi yang juga doktor iaitu Nur Fatin Safarudin, 30 (pemandu) dan Izyan Aini Mohamed, 29, cedera ringan.

Dua lagi rakan mangsa, Hudayah Yahaya, 29, serta Siti Aisyah Harun, 30, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata kelima-lima individu yang menaiki kereta PROTON Persona bekerja sebagai doktor dikatakan dalam perjalanan menuju ke Malangkap, Kota Belud dari Kota Kinabalu, untuk bercuti.

“Setiba di selekoh, Isuzu D Max yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Kota Belud menghala Jalan Ranau-Tamparuli tiba-tiba memasuki lorong bertentangan lalu menyebabkan pertembungan.

“Akibat itu, seorang doktor parah dan dua lagi doktor cedera ringan pada badan, selain mata bengkak,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pemandu Isuzu D Max dan enam penumpang berusia dua tahun sehingga 44 tahun tidak cedera.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *