Pemimpin Pembangkang Turut Merasai Kehilangan Bekas Ahli Parlimen Sandakan

Maximus (tiga kiri) dan Johniston (kanan) memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Stephen. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pemergian mengejut bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt turut dirasai oleh rakan daripada pemimpin parti pembangkang Sabah.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata walaupun beliau dan mendiang berlainan ideologi politik, namun mereka tetap sahabat sekian lama.

Beberapa rakan pemimpin mendiang turut hadir memberikan penghormatan terakhir di Fook Lu Siew Kota Kinabalu. – Gambar SNT

“Kami di PBS turut berdukacita dengan perkhabaran ini. Ucapan takziah kami sampaikan kepada keluarga dan rakan sekerja mendiang. Kita semua merasakan kehilangan seorang pemimpin yang baik dan bekerja keras untuk rakyat Sabah.

“Sudah pasti saya juga merasakan satu kehilangan yang besar kerana mendiang adalah salah seorang sahabat saya,” katanya ketika ditemui selepas hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Fook Lu Siew di sini hari ini.

Kelihatan bekas ketua menteri, Datuk Yong Teck Lee (tengah) bersama beberapa rakan mendiang hadir memberikan penghormatan terakhir di Fook Lu Siew Kota Kinabalu. – Gambar SNT

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Johniston Bangkuai.

Maximus menambah minggu lalu, beliau ada bertegur sapa dengan mediang semasa menghadiri sesi sidang Parlimen.

“Walaupun saya berada di pihak pembangkang, pada pertemuan itu, kami sempat bercakap berkenaan kepentingan Sabah.

“Saya bekas menteri Persekutuan dan saya sering menjawab soalan-soalan mendiang berkenaan isu ini. Mendiang sangat lantang bersuara berkenaan hak-hak Sabah di Parlimen,” jelasnya.

Menurutnya mendiang Stephen sentiasa mengutarakan soalan-soalan yang bernas dan difikirkan penting kepada rakyat di Sabah. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *