Pelajar maut selepas 15 jam kemalangan

Keadaan kenderaan jenis kompak yang terbalik selepas terbabas petang Khamis lalu.

RANAU: Seorang pelajar wanita di sebuah universiti awam meninggal dunia selepas kira-kira 15 jam kemalangan membabitkan kereta kompak yang terbabas sendiri di Kilometer 15 Jalan Lohan-Ranau petang Khamis.

Mangsa, Amirah Syafiqah Shaarani, 23 disahkan meninggal dunia jam 6.14 pagi semasa sedang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata kejadian jam 2.30 petang itu berlaku apabila mangsa dan tiga lagi rakannya dalam perjalanan dari pusat peranginan Poring Hot Spring ke Kota Kinabalu.

“Semasa menuruni bukit berselekoh kereta berkenaan hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terbalik.

“Impak kemalangan menyebabkan mangsa tercampak keluar manakala dua penumpang serta pemandu berada di dalam kenderaan semasa kenderaan terbabit berpusing,” katanya.

Katanya mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital dan dirawat di Bahagian Kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Tiga lagi rakannya masing-masing berumur 22 hingga 24 tahun hanya mengalami keceederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *