Tetak Warga Australia, PATI kena 13 tahun penjara

KOTA KINABALU: Suspek kes tetak membabitkan seorang lelaki warga Australia sehingga parah berhampiran Kampung Kiwoi Tamparuli, di sini 24 Januari lalu, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Roy Samad Totong, 37, selepas tertuduh mengaku salah menetak mangsa, Broadhurst Daniel Barry, 46, di kepala dan tangan menggunakan parang.

Roy yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI), diarahkan menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan polis, Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam sesi rayuan di mahkamah hari ini, Roy yang tidak diwakili peguam meminta supaya hukuman diringankan kerana mempunyai anak yang masih kecil selain ibu yang memerlukan penjagaannya.

Bagaimanapun, rayuan itu tidak dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya kes, Mohd Ali Imran, yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia adalah kesalahan serius dan mengancam nyawa.

Dalam insiden Januari lalu, kejadian difahamkan berlaku akibat perselisihan faham antara Roy dan mangsa menyebabkan tertuduh berang lalu bertindak mengejar mangsa menggunakan parang.

Mangsa dikatakan cuba melarikan diri untuk meminta pertolongan, namun kawasan sunyi yang dikelilingi hutan menyebabkannya gagal mendapatkan pertolongan sebelum diserang tertuduh.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang juga pengusaha rumah penginapan di kampung berkenaan, ditemui berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *