Sabah Kehilangan Pemimpin Berjiwa Rakyat – Shafie Apdal

Datuk Shafie Apdal memberi takziah kepada balu Stephen Wong.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya masyarakat Parlimen Sandakan kehilangan seorang pemimpin yang komited bekerja untuk rakyat selepas kematian Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pagi ini.

Menggambar beliau sebagai seorang rakan baik dan pemimpin yang kuat bekerja, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemergian Stephen menandakan beliau turut kehilangan seorang sahabat pejuang dalam arena politik.

“Hari ini sangat menyedihkan, seorang rakan dan seorang menteri, Datuk Stephen Wong selaku Ahli Parlimen adalah rakan lama saya yang berjuang, sebelum kita menjadi kerajaan lagi telah banyak bekerjasama daripada pelbagai peringkat.

“Bila saya bagi maklum mendiang perlu ke Tawau, ke Sandakan dia jarang menolak atas kerja yang perlu dilakukan, mendiang seorang menteri yang betul-betul komited dalam membantu rakyat.

“Beliau seorang menteri yang berjiwa rakyat, rajin bekerja tanpa mengira masa dan waktu, kita amat bersimpati dengan keluarga mendiang,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) petang ini.

Stephen, 64, meninggal dunia di HQE1 pada jam 12.15 tengahari akibat masalah jantung selepas beliau dibawa ke hospital berkenaan kerana mengadu sakit dada.

Mendiang meninggalkan seorang balu, tiga anak perempuan, seorang anak lelaki dan dua cucu.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Sabah telah menjadi wakil rakyat Sandakan selama dua penggal sejak 2013.

Selain dikenali dengan sikapnya yang lantang bersuara, mendiang juga merupakan antara pemimpin yang tidak pernah berhenti memperjuangkan tuntutan Sabah supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

Dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu, mendiang sekali lagi mengingatkan Kerajaan Pusat bahawa selain MA63, penurusan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri perlu dilakukan segera.

Terdahulu kira-kira pukul 6.30 pagi ini, Stephen sempat beriadah mendaki bukit di Taman Tambaig, Kampung Duvanson, Putatan bersama rakan-rakannya.

“Sebelah pagi tadi mendiang ada acara mendaki dan selepas itu pada pukul 9 pagi, mendiang mengadu sakit dada dan dibawa ke hospital, mendiang kena serangan jantung.

“Saya tidak tahu sama ada mendiang ada rekod kesihatan sebelum ini, saya tidak dimaklumkan tetapi doktor pakar kata itu mungkin penyebab,” kata Mohd. Shafie.

Sementara itu, Mohd. Shafie enggan mengulas tentang pilihan raya kecil di Parlimen Sandakan bagi memberi penghormatan kepada keluarga mendiang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *